Amalan Membaca

Tajuk : Cara dan Peranan Ibu Bapa untuk Memupuk Minat Membaca kepada Anak-Anak

Tema      : Amalan Membaca
Tugasan : Cara dan Peranan Ibu Bapa untuk Memupuk Minat Membaca kepada Anak-Anak

       Satu kajian telah dijalankan dan memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia dikatakan masyarakat yang malas membaca berbanding dengan penduduk di Singapura. Dalam kajian itu juga didapati bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Budaya membaca dalam kalangan masyarakat masih berada pada takuk lama, iaitu bagai hidup segan mati tidak mahu. Ironinya, Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya harus dijadikan pegangan oleh golongan remaja di Malaysia dalam melahirkan modal insan kelas pertama. Siapakah yang harus dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan? Kita sedia maklum bahawa pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk meningkatkan budaya membaca ini tetapi masih gagal. Sebenarnya, terdapat pelbagai cabaran atau rintangan yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa untuk memupuk budaya membaca ini. Dalam pada itu, ibu bapa perlu mencari inisiatif yang lebih proaktif untuk menjadikan amalan membaca itu sebagai rutin kehidupan kepada anak-anak mereka.

         Cabaran paling utama yang terpaksa dihadapi ialah ibu bapa kurang membeli bahan bacaan secara berkala ataupun tidak membeli langsung bahan bacaan tersebut. Hal ini akan menyebabkan anak-anak tidak mempunyai buku atau bahan makalah untuk dibaca. Sekiranya buku yang ada di rumah pun hanyalah buku yang ada sudah usang dan tidak menarik ataupun buku itu sudah rosak. Oleh sebab itu, ibu bapa yang berfikiran rasional haruslah memperuntukkan sedikit wang dalam sebulan bagi membeli bahan bacaan. Ibu bapa bolehlah membelikan bahan bacaan yang sesuai mengikut perkembangan diri anak-anak. Sebagai kesannya, anak-anak akan memiliki buku-buku yang dapat mencerna ilmu pengetahuan mereka. Selain itu, anak-anak akan sentiasa berusaha untuk menjadi orang bijaksana dengan membaca buku. Langkah yang bijak ini pastinya akan menarik minat anak untuk membaca buku tersebut. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa belakang parang jika diasah lagikan tajam. Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah juga ada menyebut bahawa ibu bapa merupakan pencorak budaya membaca dalam jiwa anak-anak. Tegasnya, ibu bapa perlu bersikap murah hati untuk membeli buku untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca buku sebagai hobi pada masa senggang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peranan Ibu Bapa dalam Memastikan Keselamatan Anak-anak Terjamin

Cerita: Sambutan Hari Keluarga

Ciri-ciri Sekolah Idaman