Gaya Hidup Sihat
Tema : Gaya hidup sihat
Tugasan : Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat
Format : Perbincangan
Contoh Karangan (Sumber asal: buku rujukan)
Manusia dilahirkan ke dunia ini sebagai khalifah untuk menguruskan dan memakmurkan bumi dengan kebijaksanaan akal dan fikiran yang dikurniai Tuhan. Namun, manusia memerlukan kriteria dan keperluan asas dalam kehidupan bagi menyempurnakan misi tersebut kehidupan yang sihat menjamin kelangsungan hidup yang sihat dan sejahtera serta bebas daripada segala jenis wabak dan penyakit.
Tanpa kehidupan yang sihat, nikmat di dunia seperti kemewahan dan keseronokan hiburan akan hilang. Persoalannya, mengapakah amalan gaya hidup sihat harus menjadi perkara penting dalam kita menjalani kehidupan yang semakin kompleks. Sesungguhnya, pelbagai prakarsa menjalani kehidupan yang sihat akan didiskusikan untuk dijadikan pedoman dan ikutan.
Pada pandangan saya, cara utama untuk menjalani kehidupan yang sihat adalah dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Pemakanan seimbang membawa erti pengambilan makanan yang mempunyai semua kelas nutrien dalam kuantiti yang betul, yakni tidak lebih mahupun kurang. Terdapat tujuh kelas nutrien yang perlu diberi perhatian, termasuklah karbohidrat, protein, lemak, fiber, mineral, vitamin dan air. Pemakanan ini juga haruslah mengikut waktu yang betul, iaitu bermula dengan pengambilan sarapan untuk tenaga yang mencukupi sepanjang hari. Tun Dr Mahathir pernah berkata bahawa makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Seterusnya, amalan pemakanan yang seimbang mampu melahirkan individu yang sihat dari segi rohani dan jasmani. Ironinya, kita akan terhindar daripada penyakit yang disebabkan oleh kekurangan zat ataupun terlebih zat. Tegasnya, amalan pemakanan yang seimbang membolehkan kita menjalani kehidupan yang sihat setiap masa.
Umum mengetahui bahawa setiap orang harus mendapatkan tidur yang mencukupi dalam satu hari. Hal ini demkian kerana setelah mengharungi hari yang penat dan letih lantaran bekerja, maka rehat dan tidur amat penting untuk mengembalikan tenaga kita semula yang telah hilang Kita juga mengakui bahawa Tuhan telah menyusun peredaran masa kita dengan begitu sistematik, iaitu berlandaskan tempoh 24 jam dalam sehan Kita dituntut untuk keluar mencari rezeki pada siang hari dan tidur pada malam hari. Kita disarankan berehat atau tidur pada malam hari kerana mengikut kajian sains, sel-sel dalam badan termasuklah sel otak akan mengalami tindak balas biokimia yang seterusnya akan menghasilkan glukosa yang baik untuk mendapatkan tenaga. Kita tidak mahu badan kita sentiasa lemah dan tidak bertenaga bagai ayam kena lengit. Dengan itu, kita harus mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang sihat.
Kita juga harus mengakui hakikat bahawa bersenam dan bersukan juga merupakan perkara penting dalam penjagaan kesihatan. Hal ini disebabkan apabila seseorang itu bersenam, kelenjar peluh akan mengeluarkan peluh dan haba daripada badan. Kita harus melakukan senaman sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu supaya badan kita sentiasa aktif dengan pergerakan fizikal dan mental. Walaupun kita sibuk dengan rutin kerja setiap hari kita haruslah bijak untuk meluangkan masa bagi melakukan aktiviti riadah, seperti berjoging dan berjalan kaki. Senaman dan bersukan yang dilakukan ini akan dapat mengurangkan kandungan toksin dalam badan. Pujangga bahasa ada berkata bahawa otak yang cerdas lahir daripada fizikal yang cergas. Hakikatnya, bersukan dan bersenam merupakan aktiviti yang mudah tetapi cukup berkesan untuk kesihatan diri.
Kesimpulannya, kita haruslah mengutamakan kesihatan dengan melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan mental dalam kehidupan kita seharian Nabi Muhammad ada bersabda bahawa "gunakanlah masa sihatmu, sebelum masa sakitmu,"yang menunjukkan bahawa kepentingan penjagaan kesihatan. Kita harus bertindak segera supaya penyakit kronik tidak menyerang kita yang akan merampas kebahagian
dan keharmonian hidup kita. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa sudah terhantuk baru nak tengadah dan nasi sudah menjadi bubur haruslah menjadi iktibar kepada kita supaya kita terus dapat menjalani kehidupan yang sihat sepanjang masa.
(535 patah perkataan)
Ulasan
Catat Ulasan