Pembentukan Keperibadian yang Terpuji

Langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk  membentuk keperibadian yang terpuji dalam diri seseorang. 

Tema     :     Pembentukan keperibadian yang terpuji
Tugasan :     Langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk  membentuk keperibadian yang terpuji
Format   :     Perbincangan

Contoh karangan (sumber asal : buku rujukan)

        Ahli falsafah agung yang bernama Aristotle pernah bermadah bahawa kayu ukur kemajuan dan ketamadunan sesebuah bangsa tidak terletak pada kekayaan dan akal fikiran, tetapi pada ketinggian akhlak dan budi bahasa. Realitinya pada hari ini berbeza daripada yang dimaksudkan oleh ahli falsafah tersebut. Hal ini kerana, sudah menjadi lumrah, manusia yang memandang tinggi terhadap kekayaan harta benda. Sikap materialistik ini telah membawa kepada bibit-bibit kelunturan akhlak yang baik, khususnya dalam kalangan generasi muda. Oleh sebab itu, berlakulah krisis kebejatan sosial yang semakin membimbangkan. Siapakah yang harus dipersalahkan? Sesungguhnya, terdapat pelbagai usaha dan wadah untuk membentuk individu-individu yang mempunyai nilai keinsanan yang syumul dan cemerlang akhlaknya. 

        Pembentukan akhlak yang terpuji dalam diri seseorang merupakan proses yang panjang dan tidak terhenti pada mana-mana peringkat hidup. Permulaan proses ini adalah di rumah, iaitu semasa seorang individu itu berada dalam zaman kanak-kanaknya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa peranan ibu bapa diberikan prioriti yang tinggi. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa anak-anak diibaratkan kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Bagaimanakah hasilnya kelak? Perkara ini bergantung pada ketekunan para ibu bapa dalam usaha mereka untuk malahirkan individu-individu yang berakhlak terpuji. Ibu bapa perlu selalu menerapkan nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak sejak kecil, bak kata pepatah,  melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menyematkan sikap menghormati orang lain tanpa mengira usia anak-anak. Tegasnya, usaha ini akan menjadi efektif jika golongan ibu bapa bertindak sebagai suri teladan dengan mengamalkan sikap yang ingin diterapkan dalam diri anak-anak. 

        Usaha ibu bapa tidak sama sekali terhad kepada penerapan nilai-nilai murni. Didikan agama kepada penerapan nilai-nilai murni. Didikan agama mesti diberikan kepada anak-anak. Ibu bapa boleh menghantarkan anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas agama untuk memperkuat unsur rohaniah dalam diri mereka. Hal ini kerana didikan agama merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sahsiah seseorang individu. Dengan adanya didikan agama, seseorang individu itu tidak mudah terjerumus ke dalam kancah gejala sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda. Ilmu agama turut membantu seseorang individu untuk membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk dan seterusnya dapat juga membentuk sikap ambil yang jernih buang yang keruh. Tegasnya, didikan agama merupakan tiang utama kepada pembentukan akhlak murni golongan remaja. 

        Apabila seseorang individu itu sudah mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, maka peranan sekolah dan usaha yang berterusan diperlukan. Sekolah merupakan institusi pendidikan yang menjadi medan untuk mencambahkan individu-individu yang berilmu dan berakhlak mulia. Guru-guru di sekolah sentiasa berusaha untuk membentuk individu-induvidu yang cemerlang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara. Secara amnya, bidang akedemik merupakan bidang yang diberi penekanan yang tinggi. Hal ini membawa kepada satu persoalan yang seolah-olah mencabar kemampuan dan kebolehan institusi pendidikan ini untuk membentuk individu yang cemerlang akhlaknya. Sebenarnya, guru-guru boleh menerapkan nilai-nilai murni dan membantu murid-murid di sekolah melakukan introspeksi diri menerusi subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Islam dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Cara ini dilihat sebagi amat berkesan kerana adanya insan bergelar guru untuk membimbing dan membincangkan isu-isu keruntuhan akhlak bersama-sama murid. Perkara ini akan dapat juga menangkis persepsi buruk sesetengah pihak yang memandang enteng terhadap kepentingan institusi pendidikan ini dalam pembentukan disiplin dan akhlak yang baik. 

        Media massa dan media baharu juga merupakan komponen yang signifikan dalam usaha untuk membentuk akhlak yang baik dalam diri seseorang. Media massa perlu banyak memaparkan perkara yang mempunyai mesej-mesej tentang kepentingan menjadi insna berakhlak. Artikel-artikel yang merungkai kisah remaja atau golongan kolar putih terlibat dalam gejala sosial perlu diterbitkan untuk tetapan minda para pembaca. Seterusnya, rancangan-rancangan khas yang bertemakan nilai-nilai murni dan keinsafan perlu disiarkan di kaca televisyen. Sebagai contoh, rancangan "Forum Agama" dan "Al-Kuliyah" haruslah diperbanyak dan sering disiarkan. Hal ini kerana pada zaman yang serba moden ini, media massa dan media baharu mempunyai pengaruh yang kuat terhadap masyarakat. Kelebihan ini jika digunakan dengan baik, media massa dan media baharu mampu menjadi medium atau landasan untuk memupuk kesedaran dalam kelangan masyarakat. 

        Usaha seseorang individu itu sendiri amat mustahak untuk mempertahankan akhlaknya. Sebagai contoh, semua individu menggalas tanggungjawab untuk menjaga nama baik diri dan keluarga mereka. Apabila sedar akan perkara ini, seseorang individu akan berupaya menepis segala godaan dan berdiri teguh atas kekuatan iman dan akidahnya. Hal ini berlaku sedemikian kerana, sebaik mana pun seseorang individu itu dibesarkan, jika individu tersebut lebih gemar terpengaruh oleh budaya hedonisme, maka terpesongkah jadinya. Sesungguhnya, setiap insan diberi kuasa untuk membuat pilihan dalam mendepani kehidupan yang sarat dengan sensasi dan gondaan. Mahatma Gandni pernah berkata bahawa seseorang insan yang mempunyai pegangan hidup yang teguh, nescaya dia tidak akan terurai daripada akar kebenaran. Hakikatnya, kekuatan dan kekentalan diri untuk mempertahankan akhlak daripada dinodai ataupun dicemari dapat meningkatkan keperibadian akhlak seseorang remaja. 

        Tuntasnya, pembentukan akhlak yang terpuji dalam diri seseorang menagih komitmen dan usaha yang serius daripada pelbagai pihak. Pepatah Melayu yang berbunyi jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya terbukti benar. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai usaha untuk melahirkan individu-individu yang mempunyai akhlak yang terpuji. Jika usaha-usaha yang dilakukan bersifat kemprehensif dan konsisten, maka tidak mustahil untuk kita melahirkan masyarakat yang berbudi pekerti dan berperibadi mulia walaupun dicabar dengan muatan reformasi dan arus pemodenan dalam kehidupan pada milenium baru ini. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peranan Ibu Bapa dalam Memastikan Keselamatan Anak-anak Terjamin

Cerita: Sambutan Hari Keluarga

Ciri-ciri Sekolah Idaman