Makanan Segera
Makanan segera telah menjadi pilihan utama remaja dan kanak-kanak sebagai menu utama mereka. Bincangkan faktor masyarakat terus membeli makanan segera.
Tugasan : Faktor Masyarakat Membeli
Format : Perbincangan
Contoh karangan (Sumber asal: buku rujukan)
Pada era globalisasi ini, gaya pemakanan masyarakat negara Malaysia telah berubah mengikut peredaran zaman pascamoden. Selaras dengan itu, restoran makanan segera diwujudkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Lantaran itu, makanan segera telah menjadi pilihan utama bukan sahaja kanak-kanak malahan pekerja kolar putih. Sebagai implikasinya, masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak telah menjadi isu yang serius kerana kesihatan aset negara terjejas. Persoalannya, bagaimanakah masyarakat boleh terpengaruh dengan makanan segera? Sesungguhnya pelbagai faktor yang mempengaruhi akan dibincangkan kerana tiada angin masakkan pokok bergoyang.
Pada pendapat saya, faktor perdana ialah ibu bapa sibuk bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga. Hal ini demikian kerana masyarakat terutamanya ibu bapa metropolitan sibuk mengejar kemewahan dan menyebabkan mereka tiada masa untuk memasak di rumah. Dalam hal ini, ibu bapa bekerja lebih masa dan lambat balik ke rumah. Oleh itu, biasanya ibu bapa akan membeli makanan segera yang berhampiran dengan tempat kerja kerana kesuntukan masa untuk menyediakan makanan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menelefon untuk menempah makanan dan makanan tersebut akan dihantar ke rumah. Tegasnya, sikap masa itu emas dalam kerjaya telah diberikan keutamaan ibu bapa dan mereka tidak lagi mempedulikan kandungan nutrisi dalam makanan tersebut.
Selain itu, iklan yang menarik daripada syarikat restoran makanan segera merupakan faktor yang mendorong masyarakat membeli makanan segera. Hal ini disebabkan oleh pengusaha restoran makanan segera menggunakan pelbagai strategi untuk menarik minat untuk semua lapisan masyarakat agar dapat mengaut keuntungan yang lumayan. Dengan demikian, syarikat restoran makanan segera telah menjalankan publisiti secara menyeluruh, iaitu menyiarkan iklan yang kreatif di media massa. Sementara itu, pelbagai tawaran istimewa telah diberikan kepada pelanggan dan pengguna. Sebagai contohnya, pakej promosi makanan segera yang murah diperkenalkan dan hadiah istimewa edisi terhad ditawarkan. Sebagai impaknya, kanak-kanak akan mengajak ibu bapa untuk mendapatkan makanan tersebut. Seyogia, ibu bapa akan memenuhi permintaan anak mereka kerana lazimnya mereka akan bersikap bagai menatang minyak yang penuh demi anak-anak yang disayangi.
Faktor penarik yang seterusnya ialah pelbagai kemudahan riadah dan hiburan telah disediakan di restoran makanan segera. Hal ini terjadi kerana kemudahan riadah tersebut dapat menarik kanak-kanak bermain sambil menikmati makanan ringan. Oleh hal demikian, restoran makanan segera telah menyediakan permainan secara percuma. Sejajar dengan itu, ibu bapa tidak akan berasa khuatir kerana permainan yang disediakan tidak berbahayakan kepada kanak-kanak dan mereka akan berasa lapar setelah bermain dengan puas. Suasana yang berhawa dingin di restoran makanan segera juga amat selesa. Sebagai akibatnya, ahli keluarga dapat menikmati hidangan makan dengan ceria dan selanjutnya hubungan kekeluargaan dapat terjalin dengan erat. Pada dasarnya peniaga bersikap bagai menangguk di air keruh untuk melariskan jualan mereka.
Tuntasnya, makanan segera mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan masyarakat jika tidak dikawal dengan baik. Hadis nabi ada menyatakan bahawa jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit. Oleh itu, ibu bapa perlu proaktif tentang tabiat pemakanan anak-anak supaya mereka dapat membesar dengan sihat dan sejahtera. Hakikatnya, masyarakat yang bijak memilih makanan dapat memastikan kesihatan yang unggul dalam kalangan keluarga mereka.
Ulasan
Catat Ulasan