Program Motivasi

Tema      :    Program Motivasi .
Tugasan :    Kelebihan Menyertai Program Motivasi
Format   :    Perbincangan

Contoh Karangan (Sumber Asal:Buku Rujukan)

        Dasawarsa ini, sering menitir dari bibir masyarakat tentang faedah-faedah menyertai program motivasi. Program motivasi dapat ditafsirkan sebagai satu program yang dijalankan oleh beberapa pihak untuk memberikan faedah atau menyuntik semangat baru kepada pihak yang lain.Pada detik ini, pihak sekolah sering mengadakan program motivasi buat anak-anak didik sama ada program motivasi berbentuk kemahiran berkomunikasi, pembelajaran,tatasusila dan sebagainya. Program motivasi ini merupakan satu daripada program yang wajib dihadirkan oleh semua murid dan menjadi program yang harus dilaksanakan pada setiap tahun.Motivasi yang disampaikan oleh beberapa penceramah luar dan dalam bukan sahaja dihadiri oleh golongan murid malah turut disertai oleh warga pendidik, seperti guru dan pengetua sekolah yang terlibat. Mengapakah isu program motivasi harus diberikan perhatian?Hakikatnya, pelbagai faedah atau kelebihan program motivasi akan dibincangkan untuk renungan kita bersama.

        Sebagai seorang murid atau generasi muda,sahsiah diri atau peribadi  yang cemerlang gemilang dan terbilang dapat saya capai melalui program motivasi. Hal ini seterusnya seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat menjelang alaf ke-21 ini. Hal ini juga bertepatan dengan Wawasan 2020 yang dilaungkan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat,iaitu Tun Dr.Mahathir Bin Mohamad yang ingin melahirkan masyarakat yang peribadi mulia atau bersopansantun.Sebagai contoh, program motivasi yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dapat membentuk sahsiah murid yang baik melalui pengisian yang baik dan input-input yang berkesan serta tertanam jauh di lubuk hati para murid. Murid akan didedahkan dengan kemahiran pengurusan diri dan ceramah agama. Hal ini sinonim dengan pepatah Melayu yang menyatakan bahawa tak kenal maka tak cinta kerana kelebihan-kelebihan yang diperoleh pada program motivasi tersebut tidak akan dapat diperoleh pada waktu yang lain. Pengisian program motivasi yang bersifat dinamik juga dapat perhatian para murid untuk memberikan perhatian kepada ceramah yang disampaikan. Tegaslah bahawa, program motivasi ini dapat membentuk sahsiah diri yang syumul dan unggul.


        Percambahan idea yang dapat dijana seterusnya ialah saya dapat mengenali diri saya yang sebenarnya. Program motivasi yang dilaksanakan bukan sahaja omong kosong malah pengisian aktiviti yang diberikan cukup bermakna dan padat. Saya dapat mengenali dini saya yang sebenarnya setelah menyertai beberapa program motivasi yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. "Kenali Diri" merupakan satu daripada nama yang cukup aforisme di bibir para penceramah kerana melalui program ini, saya dapat mengetahui peribadi atau sikap saya yang sebenarnya. Sikap atau peribadi yang diketahui dapat menjadi satu daripada kelebihan atau kekurangan yang boleh saya baiki dalam usaha untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Saya juga dapat mengetahui saya yang sebenarnya setelah menyertai program motivasi ini. Tamsilannya, ketika saya menyertai program motivasi, saya dapat mengetahui bahawa saya mempunyai kelebihan dari segi berkomunikasi dan ini memberikan semangat kepada saya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan.Sudah terang lagi bersuluh bahawa dengan menyertai program motivasi, saya dapat mengenali diri saya yang sebenarnya.

        Dari perspektif yang lain, dapat saya katakan bahawa program motivasi merupakan satu medium yang dapat membuka minda para murid. Hal ini jelas dapat dilihat apabila pengisian pengisian yang disampaikan oleh penceramah bukan sahaja dari sudut isu masyarakat tempatan malah isu bersifat global juga diketengahkan Sebagai contoh, isu yang sering diketengahkan ialah cara kita membantu masyarakat.Palestin yang disekat pemikiran mereka oleh rejim Zionis, iaitu masyarakat Yahudi dari Israel. Mereka bukan sahaja dijajah dari segi fizikal malah mental mereka juga turut dicemarkan dengan peperangan yang berlaku dan kesan kepada jati diri mereka. Isu yang disampaikan oleh penceramah sekali gus membuka minda dan pemikiran para pelajar untuk berfikiran matang dan menanam benih-benih patriotisme dalam diri generasi muda ini. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa hidup seperti katak di bawah tempurung dapat dielakkan apabila pelajar tamat mengikuti program motivasi ini. Malahan pelajar yang berfikiran secara kreatif, inovatif dan kritis dapat dilahirkan dengan terlibat dalam program motivasi yang banyak manfaatnya.

Sejajar dengan program motivasi yang disampaikan, saya turut berpendapat bahawa para murid dapat mengetahui cara belajar yang pelbagai. Program motivasi mempunyai pelbagai aspek yang diketengahkan dan antaranya ialah cara yang paling efektif menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu merupakan pelita hidup insan.Dengan demikian, ilmu itu dapat diperoleh daripada pelbagai cara sama ada secara formal atau tidak formal. Sebagai contohnya, program motivasi yang disampaikanoleh Encik Usman Bin Affan, seorang penceramah tersohor di Malaysia menekankan cara belajar yang efektif kepada para murid. Motivasi yang disampaikan oleh beliau juga bersifat santai dan beliau telah menyuntik semangat baru kepada murid untuk menuntut ilmu malah cara ini juga dapat membantu seseorang individu untuk mengingati sesuatu dengan mudah. Oleh itu, dapat saya katakan bahawa program motivasi merupakan satu wadah yang dapat membantu murid mengetahui teknik belajar yang berkesan. Hal ini juga sudah pasti akan meningkatkan keputusan peperiksaan para murid.

        Saya juga berpendapat bahawa program motivasi ini dapat menanam keyakinan kepada para murid. Motivasi yang disampaikan oleh pakar motivasi ini kebanyakannya menekankan aspek persediaan ketika menghadiri temuduga untuk memohon biasiswa atau pekerjaan. Keyakinan merupakan satu elemen yang amat penting dalam diri seseorang kerana keyakinan perlu dijana dalam diri seseorang dan perkara ini dapat menjadi kelebihan bagi seseorang individu. Hal ini dapat dilihat dalam senario masa ini bahawa program motivasi yang dijalankan menekankan aspek komunikasi, penampilan din dan peribadi seseorang. Dengan itu, seseorang itu dapat membantu diri sendin untuk mengorak langkah ke hadapan dan berdiri sebaris dengan nama-nama yang tersohor di persada negara, seperti Datuk Michelle Yeoh, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek. Hal ini seiring dengan kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam Jelaslah bahawa program motivasi menjadi satu wahana yang dapat membantu para murid untuk memupukkeyakinan dalam diri mereka.

        Dari uslub yang lain, saya berpendapat bahawa program motivasi dapat menjana jati diri yang utuh dalam diri seseorang murid. Jati diri yang utuh merupakan satu kelebihan buat diri seseorang kerana seseorang itu tidak akan mudah terpengaruh oleh anasir-anasir luar yang merosakkan sahsiah seseorang. Tamsilannya, budaya kuning yang disebarkan oleh Barat telah sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran anak muda dan telah merosakkan masa muda mereka dengan gejala yang tidak bermoral, seperti dadah, merokok dan sebagainya. Hal ini sedikit sebanyak menggugat imej negara kita sebagai negara Timur yang amat menekankan aspek sopan santun yang semakin hari semakin kritikal, seperti embun di hujung rumput Dengan itu, tegas saya katakan bahawa program motivasi akan dapat menjana jati diri yang utuh dalam diri seseorang individu.

        Tuntasnya, saya berpendapat bahawa program motivasi menyediakan pelbagai kelebihan kepada kita semua tanpa mengira peringkat umur. Program motivasi juga merupakan satu medium yang dapat melahirkan insan yang bersifat dinamik dan dapat menjana pemikiran secara kritis dan inovatif .Para murid juga akan dapat memperoleh maklumat yang kudsi dan dapat dijadikan panduan serta ingatan dalam menghadapi masa depan yang penuh dengan pancaroba bagi mencapai aspirasi negara menjelang tahun 2020. Program motivasi juga mendidik seseorang itu untuk terus berusaha dan berkeyakinan dalam mencapai cita-cita yang diidamkan seiring dengan pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya Oleh itu, program motivasi merupakan wadah yang mengandungi 1001 kelebihan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peranan Ibu Bapa dalam Memastikan Keselamatan Anak-anak Terjamin

Cerita: Sambutan Hari Keluarga

Ciri-ciri Sekolah Idaman