Bangunan Bersejarah

Usaha-usaha untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di negara kita.

Tema      : Bangunan Bersejarah
Tugasan : Usaha-usaha untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di negara kita.
Format   : Perbincangan

Contoh karangan (Sumber asal : buku rujukan)

        Pada era langit terbuka ini, Malaysia telah menjadi tempat tumpuan pelancong untuk datang menikmati dan menghayati keindahan serta keunikan pusat-pusat pelancongan di sini. Walaupun kawasan-kawasan pelancongan semakin hari semakin bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kawasan tinggalan sejarah masih mendapat tempat di hati setiap pelancong yang hadir. Oleh itu, usaha untuk memelihara dan memulihara bangunan-bangunan bersejarah di Negara kita perlu ditingkatkan kerana pelbagai kepentingan yang bakal kita peroleh dan akan dirungkaikan sebentar sahaja lagi.

        Kelebihan perdana, bangunan-bangunan bersejarah di Negara kita mempunyai dan menyimpan 1001 maklumat sejarah yang sangat penting buat negara. Seandainya usaha untuk memelihara bangunan sejarah ini dilaksanakan, hal ini akan memberi impak yang positif kepada bangsa dan anak watan untuk mengambil iktibar dan sejarah silam negara kita, Malaysia. Sesiapa yang melupai sejarah,pasti akan mengulanginya. Inilah kata-kata hikmat yang sangat sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia pada hari ini.Sebagai contoh,bangunan KotaA Famosa yang terletak di Bandar Melaka akan menyuntik semangat patriotisme bagi mereka yang menghayati sejarah bangunan yang menyimpan pelbagai maklumat dan pengajaran.

        Walaupun bangunan-bangunan ini telah dibina sejak berabad-abad yang lalu, namun para pelancong yang hadir tidak kira dari dalam mahupun luar negara tetap tertarik untuk keindahan serta mendalami sejarah negara yang dipamerkan. Sekiranya kesemua bangunan bersejarah ini dipelihara dengan rapi, hal ini akan memberikan tamsilan yang positif buat negara. Secara tidak langsung, semakin hari semakin ramai pelancong yang sudi meluangkan masa untuk hadir melawat tempat bersejarah di Malaysia sekali gus menjamin peningkatan ekonomi negara. Oleh itu, usaha untuk memelihara dan memulihara bangunan ini penting kerana merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong seperti Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi saksi kemerdekaan negara kita yang tercinta.

         Akhirnya, keunikan seni bina bangunan bersejarah ini akan dapat dikekalkan melalui usaha memelihara dan memulihara yang dijalankan. Dalam erti kata lain,  keunikan ciri-ciri binaan yang dihasilkan sejak zaman dahulu kala dapat diselamatkan daripada campur tangan pihak asing yang akan merosakkan unsur keaslian seni bina yang ditonjolkan. Bangunan Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar, iaitu Bandar Diraja sangat terkenal dengan keunikan dan kehalusan ukiran yang perlu dipelihara agar perkara ini tidak hilang dengan arus kemodenan dunia. Jika bangunan bersejarah di Malaysia dapat dipelihara dan dipulihara dengan baik, maka keunikan serta keaslian seni bina yang merupakan warisan zaman berzaman pasti dapat dikekalkan.

       Kesimpulannya, setiap pihak harus menyedari kepentingan yang akan kita peroleh melalui pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di negara kita. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur, baru kita semua tersedar kerana pada masa itu, segala-galanya telah menjadi sia-sia. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengekalkan pusaka turun temurun pahlawan Melayu kerana terdapat pelbagai kepentingan dan impak positif yang akan kita peroleh mungkin bukan pada masa sekarang tetapi kepada anak cucu kita yang kita sayangi pada masa akan datang. Sayangilah negara Malaysia kerana di sinilah tanah tumpahnya darah kita, rakyat Malaysia bumi bertuah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peranan Ibu Bapa dalam Memastikan Keselamatan Anak-anak Terjamin

Cerita: Sambutan Hari Keluarga

Ciri-ciri Sekolah Idaman