Ucapan : Mengadakan sambutan Hari Keluarga di satu kawasan perkelahan
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita semua dapat berkumpul dalam suasana yang gembira disamping keluarga tersayang, walaupun tidak semua ahli jawatankuasa dapat hadir pada sambutan hari keluarga pada tahun ini, saya yakin mereka tetap menyokong apa jua program yang dianjurkan kali ini.
Dengan izin Allah SWT juga, kita diberi kesempatan untuk berehat dan meluangkan masa bersama-sama, jauh dari kesibukan harian dan tugasan pejabat, semoga kita dapat menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk bergembira dan melepaskan tekanan yang dialami di tempat kerja.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian.
Saya difahamkan Sambutan Hari Keluarga ini telahpun dirancang oleh ahli jawatankuasa penduduk Taman Bukit Kempas sejak dari mula dilantik pada pertengahan tahun lepas, dan dalam beberapa bulan kebelakangan ini urus setia yang dilantik begitu sibuk membuat persiapan untuk menyempurnakan sambutan dua hari satu malam ini. Apa yang Tuan-tuan dan Puan-puan dapat lihat pada hari ini dan disepanjang program yang akan berlangsung sehingga malam ini adalah tuaian dari hasil kerja keras urus setia yang tidak mengenal penat dan lelah semata-mata untuk menjayakan program ini. Saya yakin kesemua pihak yang terlibat telah pun berusaha sedaya upaya untuk meraikan peserta program ini dengan baik, sehingga berjaya menempah lokasi yang dinamakan Pantai Port Dickson.
Tahniah juga diucapkan kepada individu yang terlibat dalam mendapatkan sokongan dan penajaan daripada pihak-pihak luar, sayugia diingatkan kepada pengarah sambutan ini supaya tidak lupa untuk memberikan penghargaan atau follow up kepada institusi yang pemurah dan baik hati, agar kesinambungan dari usaha kita pada hari ini akan terus mendapat sokongan daripada mereka pada masa-masa akan datang. Agak mengejutkan juga apabila sambutan kita pada tahun ini mendapat penajaan yang banyak, setakat yang dimaklumkan sebanyak 16 syarikat dan individu yang menyumbang samada adalam bentuk wang tunai atau barangan, antaranya Nestle, Dutch Lady, Gardenia, De Palma dan banyak lagi, walaupun dimaklumkan semua orang yang hadir akan dapat hadiah, saya harap semangat kesukanan tidak akan luntur kerana yang kalah sekalipun tetap akan ada habuannya. Syabas sekali lagi kepada penduduk di taman perumahan dan seluruh ahli jawatankuasanya.
Dalam kita bersukaria di sepanjang sambutan ini, diharapkan kita tidak melupakan objektif utama hari keluarga ini diadakan, selain mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan penduduk di taman perumahan samada di ibu pejabat atau di daerah, program ini juga memberi peluang kepada semua ahli jawatankuasa dan keluarga masing-masing untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain. Saya percaya dengan mengenali ahli keluarga rakan sekerja, kita akan lebih memahami personaliti mereka dengan lebih baik dan dapat membina keakraban yang lebih kukuh samada semasa waktu bekerja ataupun diluar waktu kerja, kita juga akan akan mengenal tanggungjawab diri dan rakan kita yang lain terutamanya apabila mereka ditimpa kesusahan. Ini adalah kerana selain dari tanggungjawab mencari rezeki yang halal, kita juga diamanahkan untuk menjaga isteri dan anak masing-masing.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah sekelian,
Perlu kita tahu, dalam menjalankan tugas seharian, keluarga memainkan peranan penting selain diri sendiri yang menjadi faktor pendorong kepada kemajuan dan produktiviti Jabatan, disini boleh saya jadikan kias, institusi keluarga sebagai baja kepada pokok-pokok yang rendang, dengan baja yang baik pokok akan menjadi subur dan sihat, maka banyaklah faedah yang boleh didapati, dari rantingnya akan datang burung membuat sarang, manusia dan haiwan akan datang berteduh, buah-buahnya akan dinikmati dan dedaunnya menghasilkan oksigen untuk manusia bernafas. Tetapi pokok yang tidak dibaja ianya akan tetap hidup tetapi dalam keadaan yang daif, dedaunnya kurang, buahnya tidak seperti diharapkan lebih malang lagi umur pokok tersebut mungkin tidak panjang, begitu juga dengan keluarga, keluarga yang bahagia akan menjadi inisiatif kepada kita supaya kerja dengan lebih jujur dan amanah serta bersungguh-sungguh. Hasilnya akan dinikmati oleh orang ramai dan keluarga akan memperolehi rezeki yang halal lagi barokah, oleh yang demikian saya menggesa supaya kepada mana-mana ahli yang masih belum mendirikan rumahtangga , cepat-cepatlah berbuat demikian, bukan sahaja kerana motivasi diri tapi atas galakan agama kerana Rasul SAW suka kepada umatnya yang ramai.
Akhirnya sama-samalah kita doakan agar program kita ini mendapat keberkatan dan dijauhkan oleh Allah SWT dari sebarang perkara yang tidak diingini. Saya berharap agar sambutan ini dapat memupuk semangat patriotisme antara satu sama lain.
Ulasan
Catat Ulasan